PUTRAJAYA: Operasi restoran, kedai atau gerai makan dan penjaja tepi jalan dibenarkan beroperasi dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPD) antara 8 pagi hingga 8 malam.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini temasuk kenderaan bersaji, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk turut dibenarkan dengan pembelian makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja.
Kata beliau, kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian juga dibenarkan beroperasi antara tempoh waktu tersebut manakala hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.
“Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan, kedai makanan haiwan, dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8. malam. Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.
“Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 pagi hingga 6 pagi. Pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) & MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan bermula 6 pagi hingga 2 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa manakala aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (keretapi, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus.
“Bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu. Tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas pukul 8.00 malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran PDRM.
“Hanya sektor perkhidmatan perlu (essential services) sahaja dibenarkanberoperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan,” katanya yang turut memberitahu sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan. – UTUSAN