PUTRAJAYA: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokali di tiga negeri iaitu Terengganu, Sabah dan Perak berkuat kuasa lusa sehingga 23 Julai ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antaranya tiga lokaliti dalam Mukim Sura, Dungun, Terengganu iaitu Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Kampung Gong Pasir dan Taman MAIDAM selepas merekodkan 28 kes positif Covid-19 daripada 360 penduduk yang disaring di ketiga-tiga lokaliti tersebut.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, PKPD sama turut dikenakan di Kampung Mangkubau Laut, Pitas, Sabah apabila sudah merekodkan 11 kes positif hasil saringan 70 individu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi di lokaliti tersebut.
“PKPD juga dilaksanakan di Ladang Sabah Mas Division Segama, Lahad Datu (14 kes); Felda Umas 1, 3 & 4, Kalabakan (14 kes) dan Fasa 4B, Taman Bukit Sepanggar, Kota Kinabalu (lapan kes).
“Selain itu PKPD dikenakan di Mukim Bidor dan Mukim Batang Padang, Batang Padang, Perak selepas mendapati trend kes meningkat dan setakat ini, sebanyak 523 positif direkodkan hasil saringan ke atas 3,271 penduduk di lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa lokaliti dilanjutkan PKPD iaitu Kawasan Perindustrian Bestgrade, Pokok Sena, Kedah sehingga 23 Julai ini kerana mendapati kes masih menular selain terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut dengan 148 kes positif direkodkan.
Bagaimanapun, katanya, PKPD Kampung Muhibbah, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan termasuk Flat Indah Jaya, Sandakan selain Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, Kedah seperti dijadualkan.
“PKPD di Asrama Pekerja Warga Asing, Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor pula ditamatkan lebih awal berbanding sepatutnya pada 13 Julai ini termasuk Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat, Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE