JERANTUT: Pemborong dan peniaga durian di bandar ini berdepan kerugian apabila raja buah itu tidak laku di pasaran dan harganya jatuh menjunam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), bermula 28 Jun lalu.
Ia sekali gus menyebabkan berlaku lambakan buah durian dan banyak yang sudah rosak serta pecah sejak dikutip dari kebun awal bulan ini.
Berikutan PKPD, penduduk 64 buah taman perumahan dalam kawasan bandar dan pinggir bandar sebelum ini dapat keluar berbelanja, tetapi sejak penularan wabak Covid-19 ramai yang berwaspada takut dijangkiti dan hanya tinggal di rumah masing-masing.
Impak penguatkuasaan PKPD bukan sahaja terkesan kepada pasaran buah-buahan lain, berlaku tekanan pasaran paling teruk yang dihadapi oleh peniaga raja buah itu walaupun mereka beralih cara penghantaran terus (COD), tetapi kurang sambutan.
Seorang peniaga durian bandar Jerantut, Mokhtar Omar, 54, berkata, penguatkuasaan PKPD membantutkan pasaran buah itu di tempat terbuka yang sebelum ini mendapat sambutan baik dalam kalangan penggemar durian.
“Saya berniaga durian kampung dan baka terbaik seperti Musang King, D24, IOI, duri hitam dan udang merah sejak lebih 30 tahun lalu dan tahun inilah saya berdepan pasaran cukup sukar dan kerugian.
“Selain hasil tanaman di kebun sendiri, saya juga memborong durian dari pekebun Kampung Sungai Lekuk dan Kampung Sungai Par yang mempunyai baka terbaik sejak awal bulan ini, tetapi berlaku kelembapan pasaran sehingga buah dalam simpanan menjadi rosak, pecah dan busuk.
“Inilah saat getir yang ditempuh peniaga buah-buahan kebetulan penguatkuasaan PKPD bertepatan dengan musim durian gugur dan kita cuma reda dengan takdir Allah SWT,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mokhtar, lambakan durian juga disebabkan pasaran terbantut ke luar daerah khususnya Lembah Klang selain sebelum ini orang luar sendiri datang ke bandar Jerantut untuk berbelanja buah itu.
Isteri Mokhtar, Siti Balqis Lokman, 35, berkata, dia turut membantu menjual secara penghantaran terus menerusi iklan secara dalam talian di media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram kepada pelanggan sekitar bandar ini.
“Kami dibantu beberapa orang penghantar bagi memudahkan buah ini dihantar ke rumah pelanggan di sekitar bandar Jerantut dengan bayaran RM3.
“Jualan tahun ini merosot dan kami hanya mampu menjual kira-kira 100 kilogram sahaja sehari berbanding satu tan sehari sebelum ini sekali gus mampu mengembalikan modal dan sedikit simpanan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE