PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dan yang berkaitan tiada hak menyifatkan kerajaan hari ini gagal kerana mereka perlu melihat pada kekurangan sewaktu menjadi kerajaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tanda pagar kerajaan gagal itu adalah persepsi pihak pembangkang yang cuba ingin menjatuhkan kerajaan.
“Kerajaan tumbang tidak menjamin kamu lebih baik sebab asalnya kamu kerajaan yang gagal, Pakatan Harapan (PH) telah gagal uruskan rakyat.
“Sekarang ini, kita sudah ada Timbalan Perdana Menteri, bagi peluang kepada beliau dan kerajaan hari ini untuk menguruskan negara,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambah beliau, peluang harus diberikan kepada kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak lain harus bekerjasama melawan pandemik Covid-19.
Dalam hal ini, semua ahli Parlimen perlu mengenal pasti rakyat yang ditimpa kesusahan sekali gus bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera.
“Tanya rakyat itu, dia dari Parlimen mana? Kalau ahli Parlimen Arau, tulis pada saya dan saya akan pergi berjumpa dengan dia. Kalau benar dia susah, saya akan tambahkan makanan dia.
“Wakil rakyat perlu bagi perhatian pada kawasan masing-masing. Sekarang bukan masa untuk berlawan tetapi sekarang adalah masa bekerjasama dengan kerajaan untuk bela rakyat,” katanya.