Persatuan bekal jentera berat rayu struktur semula pinjaman - Utusan Malaysia

Persatuan bekal jentera berat rayu struktur semula pinjaman

Pekerja-pekerja dalam perkhidmatan jentera berat milik Datuk Seri Mohd.Effandie bergambar di hadapan kren yang sudah lama tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang pandemik Covid-19 dilaksanakan. ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 1,000 ahli Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru) dan Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia merayu kepada syarikat pinjaman dan kredit di Malaysia untuk memberi bantuan dalam bentuk penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman sepanjang tempoh pandemik Covid-19 yang sukar ini.

Ketiga-tiga persatuan turut menyeru Kerajaan untuk segera campur tangan bagi membolehkan mereka keluar dari masalah tersebut. 

Presiden Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Alec Chong  berkata, pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar terhadap ekonomi dunia dan kesan dominonya menyebabkan Malaysia turut mengalami penyusutan  khususnya dalam bidang pembinaan.

“Walaupun dengan pembukaan semula sektor pembinaan, ekonomi negara masih perlahan. Tanpa dijangka akibat dari pandemik ini juga, harga bahan binaan naik mendadak ditambah pula dengan kekurangan pekerja dan pelbagai sekatan yang lain, ramai pemaju mengambil tindakan untuk mengurangkan penglibatan dalam projek-projek baharu.

“Akibatnya banyak syarikat dalam sektor pembinaan mengalami kemerosotan ketara dalam perniagaan mereka dan ini turut menjadi salah satu cabaran yang dihadapi oleh kami, ahli dari ketiga-tiga persatuan,” katanya dalam kenyataan bersama ketiga-tiga persatuan tersebut.

Beliau berkata, masalah bertambah akibat kesukaran pihaknya untuk mendapatkan bayaran dari pelanggan ataupun pihak yang berhutang menyebabkan berlaku tekanan yang tinggi dalam mengimbangi aliran tunai perniagaan.

Kesannya, katanya lagi, ada di antara ahli persatuan terpaksa mengambil tindakan menjual aset-aset supaya mampu bertahan dan lebih malang lagi ada juga ahli persatuan yang kini di ambang muflis.

Alec memberitahu, akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri juga, sektor pembinaan terpaksa ditutup dan sekaligus ia menjejaskan jumlah pendapatan ahli persatuan yang dalam masa yang sama harus menanggung gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sewa premis.

“Hasil dari tinjauan yang telah kami jalankan baru-baru ini, kebanyakan ahli kami telah lama bergantung dengan syarikat pinjaman dan kredit untuk kemudahan pinjaman sewa beli untuk pelaburan membeli jentera-jentera berat baharu,”katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru),Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad berkata, tanpa bantuan penstrukturan semula pinjaman dan pemberian moratorium selama enam ke 12 bulan ke atas, aliran tunai ramai ahli persatuan akan terkesan lebih teruk lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya