Perdaya lelaki, bekas pegawai tentera dihadap ke mahkamah - Utusan Malaysia

Perdaya lelaki, bekas pegawai tentera dihadap ke mahkamah

MOHD.  Suhaizal Mat Sulaiman (dua dari kanan) diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pegawai tentera didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini kerana memperdaya seorang lelaki dengan meminta bayaran RM8,500 bagi membantu mendapatkan kerja penyelenggaraan di fasiliti tentera di daerah ini, lima tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Suhaizal Mat Sulaiman, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Suhaizal didakwa memperdaya mangsa berusia 37 tahun untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mendapatkan kerja senggaraan sivil, mekanikal dan elektrikal fasalitas infra latihan, Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) desa dan infra mekanikal Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada).

Lelaki itu dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah keseluruhan RM8,500 secara perbankan atas talian ke akaun Maybank miliknya yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Bekas pegawai tentera itu didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad (Maybank) Jalan Dato Haji Hassan, Kampung Masjid Lama, di dalam Daerah Kluang antara 5 Februari dan 12 Februari 2016.

Oleh itu, tertuduh telah didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Syarina Raizan manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Rashid Tasin.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya