KOTA BHARU: Jumlah kenderaan yang ingin memasuki Kelantan melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jeli yang merupakan laluan masuk utama dari utara tanah air dikesan mula meningkat hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, bilangan kenderaan dari luar melalui SJR itu dikesan meningkat sejak pagi ini sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Bagaimanapun katanya, tiada perubahan aliran trafik di dua lagi SJR pintu masuk utama Kelantan iaitu di Pasir Puteh dan Gua Musang yang membabitkan laluan dari selatan tanah air termasuk ibu negara.
“Berdasarkan pemerhatian, jumlah kenderaan di sekitar kawasan Kota Bharu juga meningkat sebanyak 15 peratus pada hari ini berbanding sebelumnya.
“Peningkatan kenderaan di Kota Bharu juga berkemungkinan kerana orang ramai keluar membeli barang keperluan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah Abdullah, polis turut mendapati berlaku peningkatan kenderaan di sekitar Tumpat dan Machang namun tidak begitu ketara.
Beliau mengingatkan perantau yang mahu memasuki Kelantan supaya menyediakan dokumen lengkap dengan alasan kukuh bagi mengelak timbul masalah ketika mereka tiba di SJR pintu masuk negeri ini.
Polis bagaimanapun tidak menggalakkan perantau merentas negeri ketika ini bagi mengelak berlakunya penularan jangkitan Covid-19.