Perak mula vaksin gelandangan di PPG Sementara Kinta

Perak mula vaksin gelandangan

WAN Norashikin Wan Noordin (kanan) meninjau pemberian vaksin Covid-19 kepada seorang gelandangan PPG Sementara di Wisma Persatuan Bulan Sabit Merah, Ipoh, Perak, hari ini. -  FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak memulakan program vaksinasi Covid-19 kepada gelandangan apabila 11 orang menerima dos pertama vaksin itu di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara Kinta di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, proses vaksinasi kepada gelandangan tersebut dikendalikan oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah.

“Gelandangan yang menerima vaksin hari ini adalah secara sukarela tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

“Mereka bersetuju menerima vaksin selepas kempen kesedaran mengenai Covid-19 dilakukan, mereka tahu tentang kewujudan virus ini tetapi tidak tahu tentang kepentingan vaksin,” katanya kepada pemberita pada program pemberian vaksin kepada gelandangan di sini hari ini.

Menurut Wan Norashikin, sepatutnya 14 gelandangan menerima vaksin hari ini tetapi dua daripada mereka tidak bersetuju dan mahu berbincang dengan waris terlebih dahulu manakala seorang lagi masih belum sihat sepenuhnya daripada penyakit hernia.

“Mereka yang menerima vaksin hari ini berusia 47 sehingga 89 tahun, 10 lelaki dan seorang wanita. Program vaksinasi hari ini berjalan lancar dan mengikut perancangan,” katanya.

Menurut Wan Norashikin, gelandangan pertama yang menerima suntikan vaksin hari ini nampak tenang, membuatkan penerima vaksin yang lain tidak takut menerima suntikan.

Beliau berkata, gelandangan yang menerima vaksin telah menjalani ujian saringan dadah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase atau RT-PCR Covid-19 yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) selain pemeriksaan kesihatan berkala oleh petugas kesihatan.

“Pemberian vaksin ini merupakan usaha kerajaan negeri untuk memberikan perlindungan kesihatan kepada gelandangan dan mengelak mereka menjadi ejen penyebar wabak,” katanya,

Sementara itu, seorang penerima vaksin yang mahu dikenali Jaafar, 71, berkata, dia rasa sangat lega kerana sudah menerima vaksin dos pertama.

Dia turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak melupakan golongan sepertinya.

“Kepada kawan-kawan yang belum lagi menerima vaksin, jangan takut, rasa macam kena gigit semut sahaja,” katanya.

Seorang lagi penerima vaksin yang mahu dikenali Ali, 55, berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program vaksinasi kepada golongan sepertinya.

“Suntikan vaksin perlu untuk semua golongan. Orang ramai tidak perlu takut kerana tidak ada kesan sampingan yang merbahayakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya