Peperiksaan UPSRA dibatalkan, diganti dengan PPKSRA - Utusan Malaysia

Peperiksaan UPSRA dibatalkan, diganti dengan PPKSRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memutuskan untuk membatalkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) yang dijadualkan bermula pada 9 hingga 18 Ogos ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa peningkatan kes Covid-19 khususnya di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, keputusan itu juga diambil berdasarkan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berfasa yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan ketika ini.

“Sehubungan itu, Jawi akan melaksanakan kaedah Penilaian dan Pentaksiran Kurikulum Sekolah Rendah Agama (PPKSRA) yang setara sebagai menggantikan UPSRA.

“PPKSRA akan diguna pakai dan sesuai dengan syarat dan kriteria yang ditetapkan bagi pemilihan pelajar ke tingkatan 1 bagi tahun 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, pentaksiran itu tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan dalam pembelajaran serta kemenjadian murid kerana perkara tersebut dapat dinilai melalui pelbagai kaedah.

Mohd. Ajib berkata, Jawi ingin merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan kaedah pengajaran bersesuaian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN