KOTA TINGGI: Seorang penolong pengurus mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan memulakan hantaran dengan menggunakan komunikasi jelik, tahun lalu.
Tertuduh, Mohamad Arif Ahmad, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yakob.
Berdasarkan pertuduhan, dia yang menggunakan nama profil Uncle Ireev @mxdriv di Twitter secara sedar membuat dan memulakan penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, pada pukul 9.20 pagi, 25 Oktober tahun lalu.
Pautan itu kemudian dibaca pada 3.30 petang, hari yang sama di Kedai Makan, Air Papan di Daerah Mersing.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi dan tertuduh diwakili peguam, Omar Kutty Abdul Aziz.
Sementara itu, Muhammad Irsyad memohon mahkamah mengenakan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tertuduh tidak memuat naik sebarang hantaran di media sosial mengenai kes itu.
Bagaimanapun, Omar Kutty memohon jaminan rendah memandangkan tertuduh menanggung ibu bapanya yang mempunyai beberapa penyakit dengan pendapatan RM2,500 sebulan.
Wan Mohd. Norisham kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan membuat sebarang komen di media sosial sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan semula sebutan kes pada 22 Ogos ini.