Penolong Pengarah, peniaga mengaku tidak bersalah palsukan tuntutan - Utusan Malaysia

Penolong Pengarah, peniaga mengaku tidak bersalah palsukan tuntutan

HASLIN Abdul Razak (depan) dan Mohd. Irwan Redzuan (dua, dari kiri) dibawa oleh pegawai SPRM bagi didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pada 2016.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Putrajaya didakwa di Mahkamah Seksyen Seremban dekat sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM15,000 berkenaan pembekalan makanan bagi satu majlis pada 2016.

Haslin Abdul Razak, 46, tertuduh kedua, secara bersama dengan seorang peniaga yang juga tertuduh pertama, Mohd. Irwan Redzuan Abdullah, 44, didakwa melakukan perkara tersebut di Pejabat Jakoa Negeri Sembilan/Melaka di Wisma Persekutuan, dekat sini pada 6 Disember 2016.

Mengikut fakta kes, Mohd. Irwan Redzuan selaku pemilik perniagaan sebuah syarikat telah bersubahat dengan Haslin selaku Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan/Melaka pada ketika itu dalam mengemukakan satu tuntutan palsu berjumlah RM15,000 kepada JAKOA Negeri Sembilan/Melaka.

Tuntutan itu berkenaan pembekalan perkhidmatan makan minum sempena Majlis Ramah Mesra Pengarah JAKOA Bersama Penduduk Komuniti Orang Asli Bukit Payung, Alor Gajah, Melaka yang tidak dilaksanakan.

Berdasarkan kes juga, Haslin telah mengarahkan Mohd. Irwan Redzuan memasukkan sebanyak RM13,200 daripada RM14,880 bayaran yang diterima setelah ditolak komisen Mohd. Irwan Redzuan ke dalam akaun Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan Jakoa Negeri Sembilan/Melaka sebagai sumbangan oleh tertuduh pertama itu.

Mohd. Irwan Redzuan dan Haslin didakwa di hadapan Hakim, Madihah Harullah di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Haslin diwakili peguam Marisa Regina Mohd. Aris Rizal manakala tertuduh pertama tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah, sehubungan itu mahkamah mengarahkan bayaran ikat jamin berjumlah RM7,000 kepada setiap seorang dengan seorang penjamin ditambah mereka mesti mesti melaporkan diri setiap bulan pada minggu pertama di Pejabat SPRM Seremban.

Tertuduh telah membayar wang jaminan dan kes akan disebut semula pada 24 September ini. – ONLINE DONE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN