ALOR GAJAH: ALOR GAJAH: Seorang pembekal sate dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini, hari ini, atas 25 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak saudara perempuannya, sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 39 tahun dan telah berkahwin bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja 25 pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan ke atas seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun dan 11 bulan kira-kira pukul 5 pagi di sebuah rumah dalam daerah Alor Gajah pada 16 Oktober 2018.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan dua hingga 25, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama di alamat sama dan kesemua tindakan itu dilakukan tertuduh pada 2018 sehingga 31 Oktober 2020.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut berdepan pertuduhan menyimpan rakaman video lucah di dalam telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A51 dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal memohon jaminan tidak dibenarkan atas faktor keselamatan mangsa yang berada di bawah jagaan tertuduh, selain tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan sepanjang tempoh lebih dua tahun.
Peguam Datuk Aravindhakshan M.N.V Pillai yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya kini hanya berdepan dengan pertuduhan dan belum dibuktikan bersalah.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Beliau turut menetapkan tarikh 5 September ini sebagai sebutan semula kes.
Utusan Malaysia pada Ahad lalu melaporkan, tindakan keji pasangan suami isteri menjadikan anak saudara perempuan mereka sebagai hamba seks sejak tiga tahun lalu akhirnya terbongkar apabila kedua-duanya diberkas polis.
Pasangan itu berusia 39 serta 37 tahun yang bekerja sebagai pembekal sate masing-masing diberkas pada 18 dan 22 Julai lalu di Alor Gajah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, lebih mengejutkan kejadian itu bermula selepas suspek wanita masuk ke bilik tidur mangsa kira-kira pukul 5 pagi sebelum menyuruh remaja itu ‘melayan’ suaminya. – UTUSAN ONLINE