Peniaga di R&R Gurun mohon PLUS beri moratorium sewa gerai

Peniaga di R&R Gurun mohon PLUS beri moratorium sewa gerai

PLUS sentiasa mencari jalan untuk membantu rakan niaga melalui pendekatan terbaik, walaupun turut terkesan dengan situasi pandemik. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kira-kira 40 peniaga di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah Selatan dan Utara di sini merayu Pengendali Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) memberi moratorium bagi bayaran sewa gerai berikutan perniagaan mereka terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Malah menurut mereka, terdapat beberapa peniaga di gerai tetap dan sementara telah ditutup kerana tidak mahu menanggung kerugian yang tinggi kerana kekurangan pelanggan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, suasana di R&R Gurun arah Selatan dan Utara lengang dan kira-kira 10 gerai tetap serta sementara telah ditutup.

Jumlah keseluruhan gerai te­tap dan sementara di R&R Gurun bagi kedua-dua arah itu lebih 40 buah.

Seorang peniaga, Mohamad Hafizhi Hussain, 57, berkata, dia masih berniaga di gerai R&R tersebut dengan menjual air dan makanan ringan walaupun pendapatan merosot lebih 95 peratus sejak PKP diper­kenalkan.

Menurutnya, hasil jualan yang diperoleh sekarang hanya mencecah RM50 hingga RM100 sehari berbanding RM1,000 hingga RM3,000 sehari sebelum pandemik Covid-19.

Katanya, pada masa ini dia membuka gerai dari pukul 7 pagi hingga 8 malam sahaja berbanding sebelum ini selama 18 jam sehari.

“Pelanggan yang datang membeli air di gerai saya hanya dalam kalangan pemandu lori,” katanya di sini semalam.

Malah tambah Mohamad Hafizhi, dia sebelum ini mempunyai seramai enam pekerja dan sekarang semuanya telah diberhentikan.

“Saya telah menghantar surat supaya bayaran sewa gerai tersebut sebanyak RM750 sebulan ditangguhkan sementara kerana tidak mampu menjelaskan bayaran sewa tersebut,” katanya.

Seorang lagi perniaga, Razak Zin, 47, pula memberitahu, dia sebelum ini menyewa sebuah gerai tetap dan dua gerai sementara di R&R Gurun arah Selatan, namun dia terpaksa menutup dua gerai sementara itu sejak April lalu.

Menurutnya, gerai tersebut terpaksa ditutup untuk mengelakkan terus menanggung kerugian apabila terpaksa membayar sewa dua gerai sementara itu sebanyak RM6,986 sebulan, tidak termasuk bil elektrik dan gaji pekerja.

“Pihak Plus sebelum ini telah memberi potongan sewa gerai sebanyak 50 peratus bermula Mei lalu hingga Julai ini.

“Namun, saya merayu PLUS dapat memberi moratorium untuk bayaran sewa gerai pada tahun ini memandangkan pandemik Covid-19 tidak diketahui bila akan berakhir di negara ini dan mengambil masa untuk memulihkan perniagaan,” kata­nya.

Seorang lagi peniaga yang tidak mahu didedahkan identi­tinya berkata, dia terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit apabila tidak dapat berniaga sepenuhnya pada setiap bulan sejak pelaksanaan PKP Mac tahun lepas.

“Kos kerugian yang ditanggung itu termasuk melibatkan barangan yang dijual di gerai­nya yang rosak dan tidak dapat dijual kerana ketiadaan pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya