JOHOR BAHRU: Gabungan Pengusaha Restoran dan Pemilik Kafe (JR&CO) Johor merayu kerajaan negeri memberi ‘lampu hijau’ membenarkan pelanggan makan di kedai seperti yang dibuat oleh kerajaan Sabah.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Nadzuaan Nasir berkata, perkara itu disuarakan kerana hampir 30 peratus pengusaha restoran dan kafe dalam kalangan ahli di negeri ini berada dalam zon merah malah sebahagian daripadanya sudah gulung tikar.
Katanya, ada juga yang masih bertahan berdepan dengan masalah modal pusingan, masalah membayar gaji pekerja, terpaksa mengurangkan staf dan kehilangan jualan hingga 85 peratus.
Katanya, kebenaran makan di kedai ini adalah langkah permulaan buat pengusaha restoran dan kedai makan untuk meneruskan kelangsungan operasi perniagaan yang dijalankan selama ini.
“Jika di Sabah ‘dine in’ boleh dilaksanakan kenapa tidak di Johor memandangkan kes di negeri ini juga menunjukkan penurunan manakala program vaksinasi juga bertambah.
Apa yang kami pinta cumalah kebenaran ‘dine in’ dengan kapasiti 50 peratus dari keluasan kedai. Jika tidak buka peluang ini kepada peniaga, pasti ramai lagi yang gulung tikar.Kami sedar risiko penularan wabak Covid-19, namun jika berterusan begini kami risau ekonomi kami yang melingkup,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Nadzuaan berkata, pihak gabungan telah menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, semalam bagi memohon kebenaran kerajaan negeri membenarkan 50 peratus pengoperasian makan di kedai dapat dilakukan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusinya, Mohd. Syarifuddin Misjan berkata, pengusaha restoran telah mencuba pelbagai cara pemasaran seperti membungkus makanan dan promosi namun semua itu hanya menambahkan kos operasi dan tidak berkesan.
Katanya, biarpun golongan peniaga menerima bantuan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) serta Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0, namun ia hanya mampu buat mereka bertahan sekejap sahaja.
“Bukan bantuan yang kami harapkan cuma kelonggaran untuk beroperasi supaya kami mampu merancakkan ekonomi peniaga serta meneruskan survival perniagaan ini.
“Tambahan pula, bukan semua yang layak dapat bantuan berkenaan. Bantuan juga tidak membantu kami untuk bertahan lama,” ujarnya.
Katanya, pengoperasian dengan 50 peratus kapasiti kedai mampu membolehkan peniaga meraih keuntungan sehingga 70 peratus kenaikan yang memang amat membantu. – UTUSAN