LUMUT: Ramai pekerja hotel dan resort di Pulau Pangkor, dekat sini terpaksa diberhentikan kerja berikutan keadaan sektor pelancongan yang lumpuh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan.
Mereka yang masih bekerja pula kini dibayar gaji harian dengan bilangan hari bekerja yang berkurangan kerana pengusaha hotel dan resort di pulau itu kini terpaksa menanggung kos operasi tanpa sebarang perolehan.
Pengerusi Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor, Zamzuri Suid berkata, ketika ini pengusaha terpaksa menggunakan pelbagai sumber kewangan termasuk wang simpanan peribadi untuk membayar kos operasi perniagaan.
“Lebih menyedihkan apabila Program Pemulihan Ekonomi Negara (Pemulih) yang diumumkan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini tidak memasukkan kami dalam senarai penerima bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Bantu Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor di Pulau Pangkor hari ini.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang saku itu diberikan kepada kira-kira 400 pekerja dari 52 hotel, resort dan rumah tetamu (guest house) di pulau peranginan tersebut.
Bantuan sumbangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor dan Tourism Perak itu disampaikan oleh ADUN Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Sementara itu, Zambry berharap kerajaan Pusat dan negeri dapat melakukan sesuatu dalam tempoh terdekat bagi memulihkan semula keadaan ekonomi sektor pelancongan yang terjejas teruk di pulau tersebut.
Beliau juga sudah memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi, agar dapat melakukan perancangan khusus untuk memulihkan sektor pelancongan di Pangkor.
Jelasnya, situasi sekarang bukan hanya menjejaskan penduduk di pulau itu tetapi juga pelabur tempatan dari seluruh negara yang melabur di situ terutama selepas mendapat status Pulau Bebas Cukai (PBC).
“Sumber pendapatan utama di pulau ini hanya dua iaitu perikanan dan pelancongan, jadi jika salah satunya terjejas ia memberi kesan buruk kepada ramai orang termasuk pengusaha feri, teksi, restoran, petugas kawalan pantai, penjaja dan pelbagai bidang pekerjaan di pulau ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE