KUALA NERUS: Seorang pengusaha inap desa di Pulau Redang di sini terpaksa mengorbankan satu daripada empat bot miliknya kerana terhimpit untuk mendapatkan wang bagi menampung kehidupan keluarga dan kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Aswadi Tengku Ibrahim, 44, berkata, aset sepanjang 7.3 meter itu dijual kepada pembeli di Kuala Terengganu dengan harga RM20,000, jauh lebih rendah daripada nilai pasaran yang dianggarkan antara RM30,000 ke RM35,000, pada awal bulan lalu.
Katanya, pada awalnya dia berat hati untuk berbuat demikian tetapi tiada pilihan lain memandangkan RM40,000 sudah dibelanjakan sebagai modal untuk beroperasi pada Mac lalu.
“Saya terdesak sebab duit sudah banyak habis semasa memulakan operasi dan sekelip mata pula hilang pendapatan sejak April lalu.
“Walaupun perniagaan ditutup tetapi setiap bulan saya memerlukan lebih RM2,000 untuk kos penyelenggaraan penginapan dan pengangkutan kerana van misalnya kalau terbiar dalam tempoh lama tanpa dijaga molek berkemungkinan boleh rosak,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Pulau Redang, baru-baru ini.
Menurut pemilik Asmadi Guest House itu, sepanjang hampir sebulan beroperasi pada Mac lalu, kira-kira 400 tetamu menginap di tempatnya, tetapi masih tidak mampu memberi keuntungan berikutan kos perbelanjaan perniagaan yang tinggi.
Katanya, selain inap desa, dia turut memiliki restoran di samping menyediakan perkhidmatan pengangkutan air dan darat kepada pengunjung di pulau peranginan berkenaan.
“Sepanjang sedekad mengusahakan perniagaan ini, purata pendapatan yang diraih mencecah RM100,000 setiap tahun tetapi kini hanya tinggal kenangan kerana rata-rata penggiat pelancongan di Pulau Redang rugi besar.
“Di Kampung Baru Pulau Redang kita mempunyai 10 inap desa yang diusahakan oleh penduduk setempat dengan menawarkan kira-kira 70 bilik yang berharga antara RM100 hingga RM300,” katanya.
Tengku Aswadi berkata, jika sektor pelancongan dibenarkan beroperasi semula tahun depan, dia berkemungkinan terpaksa membuat pinjaman baharu dengan pihak bank kerana jumlah simpanan yang kini sifar. – UTUSAN