Penghujahan kes Ahmad Zahid 5 Ogos - Utusan Malaysia

Penghujahan kes Ahmad Zahid 5 Ogos

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan penghujahan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didengar selama enam hari bermula 5 Ogos ini.

Penghujahan lisan pada akhir kes pendakwaan itu dijadualkan didengar di mahkamah terbuka di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 5, 6, 9, 11, 13 dan 24 Ogos.

Tarikh penghujahan itu dimaklumkan kepada pihak media oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan disahkan oleh peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 19 Mac lalu, pihak pendakwaan menutup kes pada hari ke-53 perbicaraan selepas mengemukakan keterangan 99 saksi.

Saksi terakhir ialah pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Khairudin Kilau, 44.

Raja Rozela ketika itu memaklumkan pihak pendakwaan menawarkan 37 saksi kepada pihak pembelaan.

Mereka termasuk ahli keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak perempuan mereka, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid.

Saksi-saksi lain termasuk adik Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi; ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan beberapa pegawai di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya