Pembantu Penguat Kuasa JPJ dituduh rasuah - Utusan Malaysia

Pembantu Penguat Kuasa JPJ dituduh rasuah

MOHD. Nurhuraimee Yahaya (kiri) diiringi seorang pegawai SPRM ketika hadir di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan rasuah berjumlah RM1,600, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Nurhuraimee Yahaya, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Stesen Penguat Kuasa JPJ Kuala Ketil dekat sini didakwa menerima wang tunai bernilai antara RM300 hingga RM400 dalam lima kejadian berasingan di sebuah bank di Kuala Muda dekat sini antara 20 Januari 2018 hingga 9 Jun 2018.

Dia didakwa menerima wang tunai tersebut daripada seorang lelaki berusia 44 tahun dengan tiada balasan menggunakan akaun bank milik individu lain.

Mohd. Nurhuraimee didakwa melakukan perbuatan itu dengan mengetahui lelaki terbabit mempunyai hubungan rasmi dengan jawatannya sebagai seorang pembantu penguat kuasa di jabatan tersebut.

Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam mewakili tertuduh, Mohamed Firdaus Mohamed Farouk merayu mahkamah menawarkan jaminan rendah kerana tertuduh berkemungkinan digantung kerja dan tidak mempunyai gaji.

“Tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak dan hidup mereka akan susah pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh membayar jaminan tersebut.

Kes ditetapkan untuk penyerahan dokumen berkaitan pada 24 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd. Zulfadli Azharudin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya