Pembantu Ehwal Ekonomi LPNM didakwa palsu dokumen - Utusan Malaysia

Pembantu Ehwal Ekonomi LPNM didakwa palsu dokumen

HASREN Amat Sibani@Fahrudin, selepas didakwa atas pertuduhan memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025, enam tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang Pembantu Ehwal Ekonomi di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini bagi empat pertuduhan memalsukan dokumen pembekalan benih nanas dengan jumlah keseluruhan RM41,025, enam tahun lalu.

Tertuduh, Hasren Amat Sibani@Fahrudin, 40, yang berjawatan Gred E19 di agensi itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dengan niat untuk memperdaya LPNM suatu dokumen pesanan pembekalan benih nanas yang mengandungi butiran matan palsu iaitu pembekalan benih nanas tidak dibekalkan seperti mana dalam tuntutan.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terbabit di Pejabat LPNM Wilayah Selatan di dalam Daerah Pontian pada April, Mei dan Disember 2015.

Bagi perbuatan itu, Hasren didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Salleh Togimin.

Ikhwan Ihsan mengemukakan jaminan berjumlah RM30,000 bagi perbuatan yang dilakukan. Namun, Mohd. Salleh memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh menanggung seorang isteri, tiga anak serta dua anak saudara selain perlu menjalani rawatan fisioterapi ekoran bahagian badannya terbakar selepas terlibat kemalangan.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM8,000 selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Tarikh 25 Ogos ini ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya