KUALA LUMPUR: Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik melalui aplikasi Facebook miliknya melibatkan sebuah parti politik dan seorang pegawai khas kepada Perdana Menteri.
Mahadi Mahbol, 36, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil ‘Mahadi Bin Mahbol’ pada 2.10 petang, 15 Oktober tahun lalu.
Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Menteri di Putrajaya, pada 5 petang, tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua- duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Azim Salih yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing sejak dua tahun lalu.
Hakim M. M Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE