Pemaju perumahan keliru, mohon benarkan kerja di tapak projek - Utusan Malaysia

Pemaju perumahan keliru, mohon benarkan kerja di tapak projek

Kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP). – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Walaupun sektor perumahan telah dibenarkan beroperasi, keadaannya masih agak mengelirukan kerana terdapat banyak kekangan dalam melaksanakan kembali operasi di tapak projek.

Pengurus Jenama dan Budaya Myra, Akil Hassan Kalimullah berkata, pihak berkuasa telah memberikan sedikit kelonggaran untuk menyambung semula beberapa kerja yang penting di tapak, termasuk pembaikan dan pemulihan kerosakan tetapi ia bergantung kepada tahap kepentingan dan lokasi.

“Kini, kami masih mengejar masa yang hilang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama dilaksanakan pada tahun lalu.

“Justeru, sebarang kelulusan bagi membolehkan untuk memulakan kerja di tapak akan membantu dalam mengejar apa-apa perkara yang tertinggal kerana lebih baik lewat daripada tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Namun, ujarnya, agak sukar untuk meramalkan apa yang akan terjadi dalam beberapa bulan ini dan itulah cabaran utama yang akan dihadapi terutamanya dalam menangani jangkaan pihak berkepentingan.

Akil menjelaskan, cabaran terbesar buat pemaju hartanah kini ialah pandemik itu sendiri. Sebagai rakyat, beliau hanya mampu berharap agar tahap ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan akan berkurang dan berada pada tahap yang lebih baik berbanding sekarang.

“Untuk sampai ke tahap itu, kita perlu fokus dalam mencapai imuniti kelompok di mana memerlukan semua orang untuk melakukan bahagian masing-masing,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Akil memberitahu, dari segi penjualan pula, majoriti pemaju perumahan memilih untuk menggunakan inisiatif dalam talian.

Pihaknya telah menggunakan waktu ini untuk berusaha membantu memudahkan para pembeli yang masih mencari rumah idaman.

“Usaha itu ditambah baik dengan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan yang dapat membantu para pemaju bertahan dalam waktu yang getir ini.

“Untuk yang lain-lain, kita akan cuba untuk melawan pandemik ini sebaik mungkin dan mengembalikan atau memulihkan semuanya seperti keadaan sedia kala,” katanya.

Sektor Pemajuan Perumahan telah dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, keputusan itu diputuskan semasa Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.

“Keputusan beroperasi itu terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta 118,” katanya dalam kenyataan.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya