Peluang jadi penyanyi naungan COF Music - Utusan Malaysia

Peluang jadi penyanyi naungan COF Music

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Syarikat rakaman COF Music menawarkan peluang buat mana-mana individu yang memasang impian untuk bergelar artis rakaman menerusi penganjuran sebuah program realiti berjudul COF Lockstar sempena tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

Menurut Pengarah Urusannya, Aman Nassim, COF Lockstar bermatlamat untuk memberi peluang kepada mereka yang benar-benar berbakat untuk dipertaruhkan dalam pasaran muzik semasa dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 hingga 30 tahun termasuk mereka yang sudah bergelar penyanyi sebelum ini.

“COF Lockstar ini adalah platform untuk mencari bakat baharu sama ada secara solo, penyanyi rap serta berkumpulan sama ada duo atau grup. Artis sedia ada pun boleh masuk pertandingan ini tapi perlulah tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman.

“Ia juga merupakan satu inisiatif COF Music sempena pelaksanaan PKP ini dengan menawarkan peluang buat mereka yang bakal terbabit untuk menjana pendapatan berdasarkan hadiah wang tunai disediakan bagi setiap pemenang.

“Dalam masa sama, pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga dijanjikan kontrak menjadi artis syarikat rakaman COF Music,” katanya.

Menurut Aman lagi, COF Lockstar turut menampilkan empat penyanyi terkenal tanah air sebagai juri profesional iaitu Hazama, Akim Ahmad, Black Hanifah dan Tomok manakala Ajak sebagai hos program.

Selain itu, Aman berkata,menerusi pertandingan itu, pihaknya juga tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mencari penyanyi dari mana-mana genre lagu.

“Kami tidak ada sasaran nak penyanyi genre apa, sebab apa yang penting nak berkualiti dan bagus. Pada saya, matlamat COF nak cari penghibur terbaik.

“ Industri kita pun kurang penyanyi sebegini. Jadi saya rasa inilah masanya untuk cungkil bakat baru. Kita bentuk dan latih mereka menjadi lebih baik.

“Saya harap semua pelapis baru yang menyertai pertandingan ini kita dapat cari dan keluarkan bakat baru yang berkualiti dan bagus. Sekali gus untuk diketengahkan dalam industri muzik kita,” katanya.

Penjurian COG Lockstar bermula dengan pencarian 10 video nyanyian terbaik sebelum bermulanya episod pertama yang bakal ditayangkan di saluran YouTube COF Music pada 7 Ogos depan.

Bagi yang ingin menyertai pertandingan ini, anda perlu ke Instagram COF Music, di bahagian bio dan mengisi borang penyertaan yang disediakan.

Kemudian, muat naik video nyanyian berdurasi seminit dengan meletakkan tanda pagar #COFLOCKSTAR dan #COFMUSIC .

Peserta juga harus pastikan akaun Instagram mereka tidak diletakkan pada mode ‘private’ bagi memudahkan penganjur mencari dan menilai video.

Kesemua video yang dihantar akan ditayangkan di semua platform media sosial COF Music sebelum 10 yang terbaik dipilih.

Juara bakal membawa pulang hadiah bernilai RM50,000 yang merangkumi hadiah wang tunai RM8,888, trofi dan kontrak bersama COF Music.

Tempat kedua pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,555 beserta trofi manakala tempat ketiga meraih RM3,333 beserta trofi.

Sementara itu turut disediakan dua kategori lain iaitu ‘Most Creative’ dan ‘Most Viewers’ yang masing-masing membawa pulang RM1,000 dan trofi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya