PUTRAJAYA: Pelan Pembangunan masyarakat Orang Asli komprehensif sedang dimuktamadkan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan menggubal dasar dan melaksanakan program serta projek pembangunan untuk masyarakat tersebut bagi meningkatkan taraf hidup mereka.
Walau bagaimanapun katanya, pada masa ini, masyarakat itu masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan sosioekonomi yang mana pada 2019, indeks kemiskinan dalam kalangan Orang Asli adalah kira-kira 33.6 peratus.
“Tahap pendidikan dalam kalangan Orang Asli yang rendah mengurangkan mobiliti sosial dan kebolehpasaran kumpulan ini.
“Infrastruktur asas yang tidak mencukupi, kekurangan ameniti dan perkhidmatan seperti jalan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air terawat dan telekomunikasi menjejaskan kesejahteraan komuniti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mustapa mempengerusikan sesi ‘Poverty Circle’ atau Kumpulan Pemikir Mengenai Kemiskinan yang membincangkan secara khusus mengenai isu-isu berkaitan pembangunan masyarakat Orang Asli.
Perbincangan tersebut dihadiri 35 wakil daripada pihak kerajaan, pihak berkuasa koridor, sektor swasta, ahli akademik, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) serta wakil masyarakat Orang Asli bertujuan berkongsi amalan terbaik dalam menangani isu kemiskinan dalam masyarakat itu menggunakan pendekatan keseluruhan negara melibatkan semua pihak berkepentingan.
Sesi pertama Poverty Circle diadakan pada 1 Julai lalu membincangkan mengenai data e-Kasih dan perkongsian maklumat model pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat MyKasih yang dilaksanakan Dialog Group.
Menurut Mustapa, dua kertas dibentangkan pada sesi perbincangan itu iaitu status dan Pelan Pembangunan Masyarakat Orang Asli oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic PosGob, Gua Musang, Kelantan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Katanya, perbincangan tersebut menyentuh aspek keperluan data yang tepat berkaitan dengan insiden kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli, Pelan Pembangunan Orang Asli holistik dan kesungguhan dalam melaksanakan program pembangunan masyarakat itu bagi memastikan pembangunan mampan.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, isu berkaitan pembangunan tanah Orang Asli juga menjejaskan sosioekonomi mereka.
“Pembangunan Orang Asli juga harus merentasi kementerian, bukan hanya bergantung Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pembanguan Luar Bandar (KPLB).
“Dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan dipertingkat bagi memastikan komuniti tersebut boleh menikmati pembangunan sosioekonomi negara dengan tumpuan kepada pendidikan, usaha mengurangkan kemiskinan serta menyediakan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan asas yang lebih baik,” katanya.