KUALA NERUS: Penuntut semester dua Fakulti Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak, semalam.
Mangsa, Muhammad Adham Hazim Mohd. Rizaini, 19, dari Kampung Tepoh di sini menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu pada pukul 10.52 malam.
Bapa mangsa, Mohd. Rizaini Ghazali, 51, berkata, dia dan isteri, Rosfazilah Salleh, 46, terkejut melihat anaknya keduanya tiba-tiba merangkak masuk ke bilik mereka pada pukul 5 pagi hari sama dan mengadu sakit kepala serta sesak nafas.
Katanya, bimbang dengan keadaan mangsa, dia membawa Muhammad Adham Hazim ke HSNZ sebelum doktor pakar membuat bantuan pernafasan (CPR) dan menstabilkan keadaannya.
“Hasil imbasan mendapati ada dua urat dalam kepala anak saya pecah menyebabkan arwah kembali kritikal kerana darah sudah memenuhi ruang dalam otak.
“Doktor memaklumkan anak saya sudah tiada harapan dan disahkan meninggal dunia di hospital,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Berangan di sini, kira-kira pukul 11 pagi ini.
Allahyarham Muhammad Adham Hazim adalah pelajar cemerlang dan turut meraih Anugerah Dekan pada semester lalu dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89.
Jumaat lalu, seorang pelajar UiTM cawangan Kedah dilaporkan meninggal dunia selepas pengsan di rumah sewanya semasa sedang menyiapkan kerja kursus pada pukul 3 pagi.