KUANTAN: Kerajaan negeri perlu bertegas dalam isu membabitkan penerokaan tanah haram tanpa berkompromi sama ada ia melibatkan tauke kecil atau besar.
Timbalan Pengerusi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) negeri, Ahmad Zarul Afiq Arifudin berkata, seperti peristiwa Tasik Chini di Chini, Pekan, Muda Pahang secara konsisten membantah penerokaan tanah secara haram atau ‘halal’ yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar yang kekal serta memberi kesan buruk kepada kehidupan masyarakat.
“Kepada pekebun haram, kami seru supaya jangan melangkaui batas kedaulatan undang-undang dan sentiasa beri kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Kami juga mahu kerajaan negeri secara konsisten menolak permohonan baru penerokaan hutan dan perlombongan seperti di Hutan Simpan Kekal Som, Jerantut dan Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis.
“Kerajaan harus sedar perkara ini berlaku atas kegagalan tadbir urus yang telah lama berakar sehingga khazanah negeri dirompak dan bencana alam menimpa rakyat serta menjejaskan kelestarian kehidupan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.
Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan, sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.
Ahmad Zarul Afiq berkata, Muda Pahang menyokong usaha penguatkuasaan oleh agensi-agensi kerajaan yang diharapkan terus berkhidmat tanpa dipengaruhi mana-mana pihak. – UTUSAN ONLINE