GRIEGOS: Pekan Griegos di Sepanyol yang mengalami krisis penduduk menawarkan peluang pekerjaan dan juga rumah kepada mana-mana orang luar yang ingin menjadi penduduk baharu di pekan tersebut.
Pihak berkuasa pekan yang terletak di timur laut Sepanyol membuat tawaran itu selepas populasi penduduk di Griegos semakin menurun dan kini hanya tinggal seramai 132 orang.
Lapor New York Post, pihak berkuasa pekan ini menawarkan tiga rumah untuk disewa berserta dua pekerjaan.
Menerusi iklan yang dihebahkan, Dewan Bandaraya Griegos memaklumkan orang luar boleh mendiami pekan ini dan bekerja sebagai pengurus hotel mahupun restoran.
“Jika anda gemar bekerja dari rumah, anda juga ditawarkan pekerjaan dalam sektor telekomunikasi.
“Namun, tawaran ini hanya untuk pasangan suami isteri yang mempunyai sekurang-kurangnya dua anak kerana kami perlu meningkatkan jumlah populasi kami,” menurut hebahan itu.
Selain itu, sewa rumah tidak perlu dibayar selama tiga bulan dan iklan itu mendapat perhatian daripada ribuan penduduk di seluruh dunia.