Pegawai teknologi maklumat didakwa sebar berita tidak benar - Utusan Malaysia

Pegawai teknologi maklumat didakwa sebar berita tidak benar

INDERPAL Singh Devgun (kiri) berjalan keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, setelah didakwa atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar hari ini. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai teknologi maklumat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebarkan berita tidak benar berkenaan kesesakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia, dekat sini yang dikaitkan dengan Tabung Haji, Mei lalu.

Tertuduh, Inderpal Singh Devgun, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Tik Tok di bawah profil akaun ‘Blackfitt’ dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar iaitu; “Those with appoitments, they are not allowed to go in or difficult to go in for the second dose for vaccination. Apparently today, about 800 people from Tabung Haji have been given a vaccination without appoitments.”

Muat naik yang dilakukan pada pukul 2.53 petang pada 21 Mei 2021 itu dilihat di PPV Stadium Indera Mulia pada pukul 3 petang, hari yang sama.

Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fazrul Shihar Abu Samah manakala tertuduh diwakili peguam, Collin Arvind Andrew.

Pada prosiding berkenaan, Fazrul Shihar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 namun Collin Arvind memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000.

Hakim Norashima membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan berkenaan.

Menerusi laporan akhbar pada 23 Mei lalu, Jabatan Kesihatan Perak menjelaskan gambar tular yang menunjukkan kesesakan di PPV Stadium Indera Mulia adalah disebabkan orang ramai hadir tanpa temujanji.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ding Lay Ming dalam kenyataannya berkata, seramai 799 orang yang hadir bersama pengiring itu merupakan penerima yang gagal hadir pada tarikh temujanji yang ditetapkan menerusi MySejahtera sebelum ini.

Menurutnya, siasatan mendapati, mereka hadir ke PPV bagi mendapatkan suntikan tanpa temujanji baharu disebabkan mukim Kinta telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 22 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya