SHAH ALAM : Seorang pegawai tadbir Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM36,000, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Azlan Dolah, 45, membuat pengakuan itu selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Berdasarkan pertuduhan, Azlan yang bertugas di MBSA Cawangan Kota Kemuning dituduh telah menerima wang tunai berjumlah RM36,000 daripada Mohamad Shaharom Alias melalui empat cek Hong Leong Bank Berhad tanpa sebarang balasan yang diketahui ianya ada kaitan dengan tugas rasmi berkenaan dengan tender Perkhidmatan Pembersihan Awam di Zon SA25(A) Seksyen 32, Shah Alam.
Pegawai Tadbir Gred N44 itu didakwa melakukan kesalahan terbabit di cawangan bank di Seksyen 15, di sini masing-masing pada 13 Jun dan 9 Julai 2014.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata dengan pendapatan bulanan sebanyak RM6,000 itu didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap minggu pertama setiap bulan selain menyerahkan pasport antarabangsa milik tertuduh kepada mahkamah.
Peguambela, Azizul Shariman Mat Yusof bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan isteri tertuduh yang akan menjadi penjamin merupakan pengasas sebuah sekolah pendidikan khas namun pendapatannya terjejas sejak tiga bulan lalu akibat pandemik Covid-19 apabila tidak boleh beroperasi seperti biasa.
Azizul turut memohon mahkamah mempertimbangkan kerjasama diberikan anak guamnya apabila memberikan kerjasama penuh sejak kes itu disiasat pada tahun 2016 sehingga semalam di mana tertuduh datang sendiri ke pejabat SPRM sebelum ditahan untuk dituduh hari ini.
Mahkamah menetapkan jaminan RM13,000 dengan seorang penjamin warganegara selain membenarkan syarat tambahan diMohon pihak pendakwaan.
Kes disebut semula pada 25 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE