SUNGAI PETANI: Pasar Besar dan Pasar Borong Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) di Jalan Kuala Ketil di sini ditutup selama tiga hari bermula hari ini untuk kerja-kerja sanitasi bagi mengelak penularan Covid-19 di pasar tersebut.
Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Muda, Dr. Suziana Redzuan berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa orang individu di pasar berkenaan positif Covid-19 setelah menjalani ujian saringan.
“Pasar Besar MPSP ditutup selama tiga hari selepas terdapat seramai tujuh orang di antara peniaga barangan runcit, ikan dan ayam disahkan positif Covid-19 dalam masa dua minggu ini.
“Sehubungan itu, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan peniaga terbabit dan masalah menghadapi masalah kesihatan seperti deman, sesak nafas, batuk dan lain-lain perlu menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kerja-kerja sanitasi itu akan dilakukan secara berperingkat bermula hari ini hingga 18 Julai ini.
“Sanitasi tersebut akan dijalankan oleh anggota MPSP, Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani dan kakitangan kesihatan,” jelasnya.
Seorang penjual daging kambing, Mohd. Idris Sakull Mohd., 39, berkata, peniaga-peniaga di pasar ini akur dengan arahan penutupan sementara bagi mengelakkan lebih ramai peniaga dijangkiti Covid-19.
“Langkah yang diambil itu termasuk melakukan sanitasi dialu-alukan demi menjaga keselamatan peniaga dan pengunjung pasar ini,” katanya.
Bagaimanapun, seorang peniaga ikan, Aina Mohamad, 33, pula berkata, dia terpaksa menutup perniagaannya selepas dimaklumkan pasar itu ditutup selama tiga hari bermula hari ini.
“Sebahagian ikan yang tidak habis dijual hari ini terpaksa dibawa balik ke rumah dan saya mungkin sedekahkan ikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.