PASIR GUDANG: Jika Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mahu menjadikan Sidang Khas Parlimen sebagai suatu sidang yang bermakna, sah dan menurut Perlembagaan Persekutuan, maka usul, perbahasan dan sesi pengundian perlu dibenarkan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan, ini kerana apa yang berlaku sebaliknya apabila Sidang Khas Parlimen yang bakal diadakan hanya sekadar penerangan daripada menteri-menteri.
Justeru katanya, Sidang Khas Parlimen tersebut bercanggah dengan kehendak Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan yang menuntut mesti ada usul, perbahasan dan pengundian.
“Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai ini merupakan minggu terakhir sebelum Proklamasi Darurat tamat pada 1 Ogos.
“Soalnya bagaimana Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan darurat boleh dibentangkan di hadapan Dewan Negara sebelum darurat tamat kerana Dewan Negara hanya mula bersidang pada 3 Ogos dan berakhir 5 Ogos 2021.
“Ini menjadikan Sidang Khas Parlimen tersebut tidak sah dari segi Perlembagaan Persekutuan kerana tidak mematuhi kehendak Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hassan berkata, janji Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa perbahasan akan dibenarkan semasa Sidang Khas Parlimen bermula 26 Julai hingga 2 Ogos itu amat meragukan.
“Ini kerana di dalam dokumen lampiran (berwarna biru) yang dikembarkan bersama Surat Pemberitahuan Sidang Khas (berwarna kuning) tersebut dinyatakan secara bertulis bahawa urusan majlis pada Isnin 26 Julai hingga Isnin 2 Ogos hanya menyebut penerangan daripada menteri-menteri.
“Tidak (ada) sepatah perkataan perbahasan disebut di dalam Urusan Majlis Mesyuarat Khas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Speaker Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negara serta Perdana Menteri bahawa Peruntukan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi.
“Peraturan-Peraturan Mesyuarat (Standing Orders) tidak boleh mengatasi peruntukan undang-undang Perlembagaan,” jelasnya.