PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong tidak mahu mengambil mudah cabaran pada Sukan Olimpik kali ini meskipun memiliki pengalaman di temasya tersebut sejak edisi 2008 di Beijing.
Pandelela atau lebih mesra dengan panggilan Lela berkata, dia menyifatkan dirinya juga seperti pencabar lain yang perlu bekerja keras demi memperoleh keputusan terbaik.
“Saya masih teruja dan berharap untuk lakukan yang terbaik seperti biasa dalam pertandingan.
“Walaupun kali keempat berada di Olimpik tapi saya masih rasakan seperti atlet biasa lain, masih perlu berlatih sebanyak mungkin dan perlu lakukan yang terbaik,” katanya.
Pemburuan pingat dalam acara terjun akan bermula hari ini menerusi gandingan Pandelela-Leong Mun Yee menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita di kolam di Pusat Akuatik Tokyo.
Setakat ini, Pandelela muncul atlet terjun negara paling berjaya apabila telah merangkul dua pingat iaitu gangsa pada Olimpik London dalam acara 10m platform individu, diikuti perak di Rio ketika berpasangan dengan Cheong Jun Hoong.
Sementara itu, bagi Mun Yee yang akan membuat penampilan kali kelima dan mungkin kali terakhir di temasya terbesar dunia itu telah bersedia untuk beraksi.
“Setakat ini semua berjalan baik di sini. Seperti saya kata sebelum ini misi utama dan harapan saya adalah untuk mendapatkan pingat.
“Tekanan memang ada setiap kali bertanding tetapi kami sudah bersedia. Mohon semua rakyat Malaysia memberi sokongan dan mendoakan kejayaan kami di sini,” ujarnya.