KUALA LUMPUR: “Apa khabar bakatku? Sekadar boleh diasah secara teori. Tanpa ada peluang untuk kembangkannya kerana bakatku, rupaku, pengikut bukan pilihan stesen, pengarah dan penerbit.”
Itu luahan pelakon dan pengacara, Ammar Titan menerusi perkongsian di Instagramnya yang mengundang simpati peminatnya.
Menerusi gambar kempen #ApaKhabarAnakSeni yang dimuat naik, Ammar juga seolah-olah meluahkan rasa terkilan dan sedih apabila bakat yang dimiliki tidak mampu dibuktikan kerana pelbagai halangan dan ‘kehendak’ industri.
“Apa khabar bakatku? Sekadar boleh diasah secara teori. Tanpa ada padang untuk mengaplikasikannya. Bila ada rezeki yang cuba masuk, terhenti kerana kriteria-kriteria di atas.
“Tapi terima kasih untuk setiap individu yang sentiasa memperjuangkan bakatku dan kemampuanku,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Ammar juga mendedahkan ada segelintir pemain industri yang hanya memandangnya sebelah mata dan turut mempersoal adakah anak seni sebenarnya bersatu dalam mendukung antara satu sama lain.
“Apa khabar bakatku? Sekadar ada dalam diri. Kerana bukan lah baik dengan anak anak seni lain yang bertaraf A kelas. Yang jenis pandang kita sebelah mata pun tidak. Kita semua bersatu ke sebenarnya? Itu kita kena buat reality check sebenarnya?
“Apa khabar bakatku? Terima kasih Ya Allah kerana meminjamkan pada ku. Semoga bakat ini boleh digunapakai lagi suatu hari nanti lagi,” katanya.