DUNGUN: Harimau belang yang menyerang haiwan ternakan di ladang sawit Felda Kertih 4 di Ketengah Jaya di sini semakin mengganas apabila 240 lembu milik lebih 60 penternak dibaham sejak tahun lalu.
Ada antara ternakan itu hilang tanpa jejak di samping mati bergelimpangan dengan kesan gigitan serta cakar tanpa dimakan termasuk dalam kejadian terbaharu dua minggu lalu yang membabitkan seekor lembu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sistem ternakan secara integrasi di kawasan ladang menjadi antara faktor penarik haiwan liar itu untuk datang bagi mendapatkan sumber makanan secara mudah.
“Kebanyakan lembu diternak secara lepas bebas dan walaupun umpan dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tetapi, sukar untuk harimau ditangkap kerana ternakan penduduk yang berkeliaran.
“Terdapat kira-kira 1,000 ekor lembu yang diternak dan dibiarkan bebas dalam ladang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas turun padang melihat operasi mengesan dan menangkap harimau di Ladang Felda Kertih 4, petang semalam.
Azman berkata, bagi memastikan usaha menangkap haiwan tersebut berhasil, penternak disaran mengurung lembu masing-masing bagi mengurangkan risiko serangan buat sementara waktu, malah pergerakan turut dihadkan sehingga pukul 6 petang di samping mendirikan pos kawalan.
“Menerusi kawalan keselamatan itu kita minta masyarakat tidak berkunjung ke kawasan ladang dan air terjun sepanjang tempoh ini.
“Perhilitan sedang berusaha memastikan kumpulan harimau berkenaan dapat ditangkap dan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat. Apa yang penting, kita mahu nyawa peneroka dan penternak terjamin di samping memelihara spesies harimau belang yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Azman berkata, kerajaan negeri menerusi Tabung Bencana Pertanian bersedia memberi saguhati kepada penternak sebagai motivasi untuk mereka terus mengusahakan ternakan.
Felda Kertih 4 dihuni lebih 300 penduduk dan terletak kira-kira lapan kilometer dari ladang kelapa sawit seluas 1,284 hektar.