Orang Asli parah diserang Pak Belang - Utusan Malaysia

Orang Asli parah diserang Pak Belang

ADIN Andok cedera parah akibat dicakar harimau belang di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki Orang Asli cedera parah di kepala, mata dan badan akibat dicakar harimau belang ketika berada di kebun ubi kayu di Kampung Badak, Pos Bihai di sini, petang semalam.

Adin Andok, 48, terpaksa menahan sakit selama 15 jam sebelum tiba di Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan seterusnya dirujuk kepada Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3 petang semalam, mangsa dikatakan pergi ke kebun ubi kayunya seorang diri untuk membersihkan kawasan kebun itu yang hanya terletak 500 meter dari rumahnya.

Tidak lama selepas itu, seekor harimau belang tiba-tiba muncul di hadapannya dan bertindak menerkam kepala mangsa sebelum mencakarnya.

Menurut anak lelaki mangsa, Kenwak Adin, 25, bapanya bergelut selama 15 minit dengan harimau belang itu sebelum orang kampung mendengar jeritan mangsa meminta tolong.

Katanya, sebaik sahaja orang kampung tiba di kawasan itu, harimau belang itu melarikan diri meninggalkan mangsa berlumuran darah dan nyawa-nyawa ikan.

“Mereka mengusung bapa balik ke rumah dan kami segera menghubungi pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk bantuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat Unit Kesihatan dan Kebajikan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gua Musang, Mohd. Syakirin Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 4 petang.

Katanya, dia bersama lima lagi petugas kesihatan bergegas ke Pos Bihai dengan tiga buah kenderaan pacuan empat roda, sebelum tiba di sana pada pukul 12 tengah malam dan tiba di Hospital Gua Musang kira-kira pukul 5 pagi.

“Mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra di  Kuala Krai dan setakat ini dia dilaporkan stabil selepas menerima rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya