[VIDEO] Operasi cari Sharul Nizwan diteruskan, guna kren 60 tan naikkan lori - Utusan Malaysia

[VIDEO] Operasi cari Sharul Nizwan diteruskan, guna kren 60 tan naikkan lori

KREN 60 tan yang akan digunakan untuk mengangkat sebuah lori yang dijumpai di dasar laut di bawa masuk ke JEV, Chuah, Port Dickson hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Operasi pencarian seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di jeti pemunggahan arang batu, Jimah Ventures Energy Sdn. Bhd. (JEV), Chuah, dekat sini diteruskan hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, lokasi pencarian mangsa, Sharul Nizwan Said, 33, dikekalkan dalam radius dua kilometer di lokasi penemuan lori yang dipandunya.

“Kami akan mengekalkan sektor pencarian iaitu dua kilometer radius di lokasi tempat yang kami temui lori. Hari ini kami daripada pelbagai agensi akan cuba menaikkan lori tersebut, semalam kami cuba menaikkan lori berkenaan dengan menggunakan kren seberat 45 tan namun terdapat masalah teknikal.

“Lori akan cuba dinaikkan hari ini dengan menggunakan kren seberat 60 tan. Cermin lori berkenaan terbuka manakala cermin belakang pecah ketika dijumpai,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan operasi di JEV, Chuah dekat sini hari ini.

OPERASI pencarian Sharul Nizwan Said, 33, seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut di jeti pemunggahan arang batu, Jimah Ventures Energy Sdn. Bhd. (JEV), Chuah, Port Dickson diteruskan hari ini. – VIDEO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

Utusan Online semalam melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut bersama lori lima tan yang dipandunya secara mengundur dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi.

Sharul Nizam pada ketika itu dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jeti Coal Unloading Edra Energy Jimah Power Plant, JEV, Chuah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, menurut saksi, kejadian berlaku ketika kerja-kerja sedang dijalankan di jeti nombor 5 untuk mengangkut arang batu yang terjatuh di atas lantai jeti.

“Saksi hanya mendengar bunyi dentuman kuat dan telah bergegas ke tepi jeti tersebut dan mendapati lori yang dipandu telah terbabas ke dalam laut.

“Saksi telah cuba membuang pelampung ke permukaan namun tidak berjaya dan terus menghubungi Balai Polis Bukit Pelandok untuk mendapatkan bantuan bomba dan lain-lain agensi,” katanya.

Dalam operasi mencari dan menyelamat semalam, pihak bomba juga telah menjumpai sebuah lori lima tan yang dipandu mangsa pada kedalaman 20 meter berdekatan jeti lokasi lelaki itu terjatuh.

Sementara itu, menurut Ahmad Mukhlis, cuaca pada hari ini juga baik dan arus di dasar laut masih lagi berkelajuan tiga knot.

“Seramai 19 orang pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga telah melakukan empat kali selaman untuk mencari mangsa. Setakat ini, kami tidak menjumpai sebarang petanda lain,” katanya.

Sebanyak tiga buah unit bot digunakan bomba dalam operasi mencari iaitu melibatkan sebuah bot amphibious inflatable, dua buah bot aluminium dibantu sebuah bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan sebuah bot masing-masing dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya