KUALA LUMPUR: Platform penstriman video kandungan Islamik, Nurflix menerusi segmen Nurflix Junior bakal menyajikan cerita-cerita animasi kenabian yang dijangka menemui penonton sekitar Ogos depan.
Penerbit Eksekutif Nurflix Junior, Diana Amir berkata, cerita-cerita animasi yang dibawakan dari Turki itu merangkumi tujuh penceritaan dengan 330 episod yang akan ditayangkan dalam dua versi, Arab dan terjermahan serta Bahasa Melayu.
“Ketujuh-tujuh cerita itu termasuk Habibullah (Muhammad SAW), Khalilullah (Ibrahim Alaihissalam), Kalimullah (Musa Alaihissalam), Nuh Alaihissalam, Sulaiman Alaihissalam
dan Adam Alaihissalam.
“Pada fasa pertama, cerita-cerita ini akan ditayangkan dalam bahasa Arab dengan sari kata bahasa Melayu dan Inggeris. Pada fasa kedua pula, kesemuanya akan ditayangkan dalam versi alih bahasa ke bahasa Melayu.
“Namun, proses alih bahasa ke bahasa Melayu buat masa terpaksa dihentikan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya dalam sidang media yang diadakan menerusi platform Zoom.
Turut serta dalam sidang media tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Nurflix, Syah Mohamed.
Diana menambah, semua cerita berkenaan disemak dengan terperinci di Turki dan disahkan mematuhi syariah serta sesuai untuk tontonan masyarakat tempatan.
“Majlis para asatizah kami dikenali Nurpath juga telah mula menyemak kandungan ketujuh-tujuh cerita animasi yang dibawakan dari Turki ini.
“Alhamdulillah setakat ini cerita-cerita animasi ini menepati ciri yang ditetapkan sebelum dipertontonkan kepada orang ramai,” tambahnya.
Dalam pada itu, Syah memberitahu setakat ini Nurflix telah menerima sambutan positif dengan jumlah langganan yang menggalakkan.
“Setakat ini, kami merekodkan antara 22,000 hingga 23,000 jumlah langganan secara percuma. Manakala mereka yang mengikuti kandungan kami secara berbayar (langganan sepanjang hayat) adalah sekitar 10 peratus buat masa ini.
“Inya-Allah, kemungkinan besar kami akan lancarkan langganan secara berbayar sepenuhnya sekitar Januari tahun hadapan apabila jumlah kandungan kami mencecah angka 1,000,” jelasnya.