WASHINGTON: Penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS), Pink menawar diri untuk membayar denda yang dikenakan terhadap bola baling pantai wanita Norway kerana enggan memakai seluar bikini ketika dalam Kejohanan Eropah.
Persekutuan Bola Baling Eropah (EHF) mengarahkan pasukan itu membayar 1,500 euro (RM7,500) selepas mereka memakai seluar pendek berbanding pakaian renang yang ditetapkan dalam peraturan ketika tumpas dalam penentuan pingat gangsa menentang Sepanyol di Varna dekat Bulgaria.
Pink, pemenang Anugerah Grammy tiga kali dalam Twitter menulis, dia akan membayar denda itu bagi memberi dorongan kepada pemain supaya terus memakai seluar pendek, sambil menyelar tindakan persatuan tersebut.
“Saya sangat bangga dengan pasukan bola baling pantai wanita Norway kerana melakukan protes terhadap peraturan mengenai pakaian ‘seragam’ mereka.
“Persekutuan Bola Baling Eropah (EHF) perlu didenda kerana mengamalkan seksisme. Terbaik pasukan Norway. Saya sangat gembira untuk membayar denda yang dikenakan kepada anda,” tulis penyanyi lagu Get The Party Started.
I’m VERY proud of the Norwegian female beach handball team FOR PROTESTING THE VERY SEXIST RULES ABOUT THEIR “uniform”. The European handball federation SHOULD BE FINED FOR SEXISM. Good on ya, ladies. I’ll be happy to pay your fines for you. Keep it up.
— P!nk (@Pink) July 25, 2021
Pegawai sukan Norway sudahpun meluahkan rasa kurang senang terhadap peraturan tersebut.
“Sudah masuk 2021, sepatutnya tidak timbul isu seperti ini,” kata Presiden Persekutuan Bola Tampar Norway, Eirik Sordahl.
Isu pakaian sudah lama menjadi pertikaian dalam sukan pantai dengan sebilangan pemain wanita mendapati bahagian bawah bikini tidak praktikal.
Pasukan Norway mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya di media sosial setelah mendapat tentangan antarabangsa.
EHF, yang sedar tindakan mereka mengundang kemarahan memberitahu, mereka memberi wang denda tersebut kepada sebuah yayasan sukan antarabangsa yang menyokong kesaksamaan bagi wanita dan perempuan dalam sukan.
Walaupun bikini tidak diwajibkan untuk pemain bola tampar pantai sejak 2012, Persekutuan Bola Baling Antarabangsa menetapkan bahawa ‘atlet wanita mesti memakai seluar bikini’, manakala pemain lelaki memakai seluar pendek.