SHAH ALAM: Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar yakin dapat membantu Kerajaan Negeri Selangor untuk menangani krisis pandemik Covid-19 termasuk pengedaran vaksin dengan menyertai jawatankuasa di peringkat negeri.
Beliau menzahirkan keyakinan itu selepas memberitahu pernah berbincang dengan kerajaan negeri di peringkat daerah Kuala Selangor mengenai cabaran berhadapan pandemik dan mengenal pasti kelemahan dan masalah yang timbul.
“Saya boleh menyuarakan, jemputlah, sebab apabila saya duduk sekali mesyuarat dahulu dalam peringkat daerah, saya lihat banyak perkara kita boleh selesaikan. Praktik, prosedur, birokrasinya jangan susahkan,” katanya dalam satu wawancara menerusi Facebook.
Jelasnya, jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan pusat perlu melampaui sentimen politik untuk memastikan jangkitan baharu Covid-19 di Selangor dapat dikurangkan dan pemberian vaksin kepada penduduk di negeri ini dipertingkatkan dengan berkesan.
“Daripada pengalaman saya, yang pernah buat di kawasan Tanjung Karang, saya sudah nampak di mana kelemahan-kelemahan, sebab saya sudah lihat sendiri. Jadi, mungkin kalau saya diberi peluang untuk bersama-sama, sedikit sebanyak boleh memberikan pandangan,” jelas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu.
Sebelum ini, selama dua hari berturut-turut Selangor mencatatkan angka baharu jangkitan Covid-19 melebihi 5,000 kes sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan negara iaitu lebih 11,000 sejak kelmarin.
Sementara kes kematian direkodkan di negeri itu pula adalah berjumlah 2,166 orang iaitu bertambah sebanyak 46 kes semalam berbanding 57 kes sebelum ini.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 2.3 juta dos vaksin diberikan kepada rakyat di Selangor menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Katanya, jumlah itu tertinggi di negara ini dengan jumlah penduduk yang lengkap menerima dua dos vaksin sebanyak 12.02 peratus, sementara Program Vaksin Selangor (SelVax) pula mencatat pemberian 57,339 dos semalam.
“Alhamdulillah, kadar vaksinasi harian semalam mencecah 114,416 dos, tidak termasuk dengan Program SelVax yang sedang giat diperluaskan dan mencecah pemberian hampir 58,000 dos sejak dimulakan. Kadar vaksinasi ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Saya ingin memaklumkan bahawa peratus penggunaan vaksin di Selangor adalah 78 peratus berdasarkan bekalan yang diterima daripada Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Persekutuan.
“Baki vaksin berjumlah 618,000 dos telah diberi janji temu utk tempoh tujuh hari mengambil kira jumlah vaksinasi harian kini mencecah 115,000,” katanya.