BUTTERWORTH: Seperti kebanyakan industri lain, industri kitar semula khususnya dalam kawasan utara Semenanjung turut terkena tempias akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan sejak tahun lepas.
Malah, ada dalam kalangan syarikat kitar semula itu ketika ini mengalami kerugian sehingga RM200,000 sebulan atau lebih 60 peratus daripada biasa gara-gara tidak dibenarkan beroperasi sejak sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan, 1 Jun lalu.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Peniaga Barangan Kitar Semula India Zon Utara (NIRA), S. Parthiban berkata, rata-rata pekerja khususnya warga tempatan dalam industri itu di sini yang dianggarkan melebihi 1,500 orang kini turut dihimpit pelbagai tekanan dan masalah susulan sekatan berkenaan.
Katanya, walaupun industri kitar semula agak lembab seperti kebanyakan industri lain pada ketika ini, rata-rata pemain industri itu masih boleh bertahan sepanjang tahun lepas kerana tempoh penutupan operasi hanya berlaku sebulan dan dibenarkan beroperasi semula selepas bulan Mei.
“Tapi tahun ini agak terkesan terutama sejak bulan Jun tempoh hari. Mereka benarkan kami mengutip dan mengumpul (barangan kitar semula) sahaja tapi barangan tersebut tidak boleh diproses.
“Selain menyukarkan kami, ini juga sebenarnya berbahaya kepada alam sekitar terutama jika bahan terbuang atau kitar semula disimpan terlalu lama,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program sumbangan kira-kira 300 bungkusan barangan keperluan harian ahli NIRA untuk diagihkan kepada penduduk yang memerlukan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah, di Kampung Gajah, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Parthiban, pihaknya menggesa industri kitar semula khususnya di Perlis, Pulau Pinang dan Perak diberi pertimbangan untuk beroperasi semula di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) seperti kebanyakan kilang lain ketika ini.
“Di kawasan utara ini sahaja terdapat lebih 150 syarikat kitar semula dan besi buruk yang beroperasi dan jika ‘lockdown’ ini terus berpanjangan dan mereka tidak dibenarkan beroperasi, bagaimana mereka mahu membayar gaji pekerja seramai lebih 1,500 orang?
“Jalan akhirnya ialah jumlah pekerja ini terpaksa dikurangkan dan syarikat juga terpaksa ditutup satu-persatu,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE