Nasi dan bendera putih - Utusan Malaysia

Nasi dan bendera putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA sentiasa teringat kata-kata penyajak Pyanhabib Rahman kepada saya. Dia selalu memberi ingatan – “Ada nasi, makan…”

Ya, betul, makanlah. Bila nasi ada di depan mata, Tuhan sudah beri rezeki dengan mampu membeli makanan. Ini ada pula menolak nasi kerana mahu kurus, walhal makanan lain elok saja dia makan macam tak ingat dunia, susah hendak berhenti – Janganlah salahkan nasi sebab gemuk. Asalkan tiada penyakit, itu sudah cukup besar rahmat Tuhan beri.

Maka pernahkah terfikir, dalam kita menolak nasi, atau segala makanan yang ada di depan mata atau tidak habis makan kerana mahu menjaga badan, penat atau tidak ada mood, ramai sedang bergelut mencari duit untuk makan nasi? Dapat nasi berlauk ikan kering, telur dan kicap itu sudah dikira makan besar.

Dalam mengharungi pandemik Covid-19 dan lockdown yang entah bila akan berakhirnya, ramai yang terjejas pendapatan, lebih-lebih lagi yang kerja sendiri bukan makan gaji.

Sebab itu apabila ada golo­ngan mengharapkan PKP berakhir, jangan dikecam me­reka, dikata tidak faham tentang memutuskan rantaian Covid-19. Hakikatnya, mereka tiada talian hayat untuk me­neruskan kehidupan tanpa keluar bekerja. Kena duduk lama di rumah, macam ma­na hendak cari makan? Sedangkan banyak bil bulanan per­lu dilangsaikan termasuk pinjaman perumahan atau sewa rumah.

Yang kerja dalam sektor awam mahupun swasta, PKP atau tidak, cukup bulan boleh cucuk kad di mesin ATM. Masa PKP di rumah, makan besar. Dari sarapan sampailah ke makan malam, semuanya makanan berbeza.

Hakikatnya, setiap orang nasib tidak sama. Bagaimana yang betul-betul terjejas ini mahu cari makan, jika tidak berniaga atau sektor yang mereka bekerja bukan keperluan, tidak dibenarkan beroperasi. Bila ditutup lama, ada pekerja terpaksa dipotong gaji atau diberhentikan. Hendak cari kerja ketika ini payah.

Justeru bila ada idea dari rakyat sendiri melancarkan kempen kibar bendera putih meminta bantuan makanan, pada saya ia adalah ikhtiar. Tak payahlah hendak mengata, pengibar bendera putih ini orang yang putus asa dalam hidup atau tidak kuat berdoa pada Tuhan. Mungkin Tuhan datangkan pertolongan itu dengan mengerakkan orang lain datang membantu. Yang cakap sebegini, tentu dia ada pendapatan tetap atau disokong pendapatan isteri dan anak-anak. Kalau hendak bercakap pasal kesusahan, jangan ukur atau melihat pada diri sendiri yang hidup selesa. Tidak mahu bantu, diam saja.

Ingatlah, Rasulullah SAW ada bersabda: Bukanlah orang yang beriman jika dia kenyang, sedangkan jiran bersebelahannya menahan lapar. – Hadis riwayat al-Bukhari.

Bendera putih bukan bermakna menyerah kalah, mereka hanya kehabisan peluru untuk terus berjuang dengan kehidupan dan terpaksa meminta bantuan. Jangan anggap bendera putih sebagai tabu, simbol sudah gagal dan putus asa. Ia sekadar bendera dan warna. Tak kan pasal warna pun hendak bising-bising. Mahu berpolemik.

Daripada mereka yang susah ini melakukan tindakan di luar jangkaan, merompak atau paling tragis membunuh diri, lebih baik mereka berterus terang meminta bantuan. Bila berlaku hal-hal di luar jangkaan ini, tahu pula orang ramai menyalahkan mangsa, kenapa pendamkan saja kesusahan itu sehingga sanggup buat perkara bukan-bukan.

Ada juga mempertikaikan kenapa tidak cari wakil rak­yat di kawasan tersebut untuk mengadu kesusahan. Beginilah, kebanyakan penduduk memang kenal wajah wakil rakyat mereka, cuma wakil rakyat saja yang tidak kenal mereka.

Ada wakil rakyat atau ahli parlimen yang nampak kelibatnya semasa kempen pilihan raya saja. Ini dari dulu lagi berlaku. Ada juga yang bukan tinggal di kawasan dia menang bertanding. Sementara hendak menunggu bantuan makanan dengan ayat ‘secepat mungkin’ atau ‘dalam masa terdekat’, kelaparan tentu sukar ditahan-tahan lagi.

Dan dalam suasana genting sebegini, janganlah ada mengambil kesempatan. Mahu menjadi popular dengan mengheboh-hebohkan dalam media sosial memberi bantuan. Jagalah perasaan orang yang dibantu itu. Mungkin dia malu, terdesak minta tolong kemudian gambarnya sekeluarga tular pula dalam media sosial.

Dalam masa inilah juga ada yang sibuk hendak tumpang sekaki, menjadi hero atau heroin. Bila ada kempen sebegini yang hangat diperkatakan, dijadikan pula saluran untuk mencari nama. Sebelum ini tidak pula terfikir mahu membantu. Hendak tolong, diam-diam sudahlah.

Dalam pada itu, harus juga berhati-hati. Bagi yang mengibarkan bendera putih melalui media sosial dan meletakkan nombor akaun bank, yang ini perlu diselidiki. Jangan terus percaya dengan cerita sedih pihak berkenaan dan menyumbangkan wang. Sepatutnya minta alamat dan pergi ke rumah itu untuk memastikan dia benar-benar susah. Zaman sekarang ini scammer di mana-mana.

Ya, kini sudah ramai tampil membantu pengibar bendera putih iaitu individu, pihak pasar raya dan NGO. Inilah semangat sebenar rakyat Malaysia. Syabas!

Penulis ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya