PETALING JAYA: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meminta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran daripada Jabatan Perhutanan jika pekebun-pekebun haram durian musang king di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, mahu memasuki kawasan operasi penguatkuasaan untuk mendapatkan semula barangan milik mereka di dalamnya.
Wan Rosdy berkata, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhamad di pejabanya di Wisma Sri Pahang, Kuantan, petang semalam yang turut disertai Sin Woon.
Katanya, dalam kunjungan hormat itu, perkara tentang kerja-kerja penguatkuasaan dalam HSK Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektat meliputi kebun haram durian musang king, telah dibangkitkan.
Susulan itu, beliau menyatakan ketegasan secara konsisten oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri tersebut.
“Dalam pada itu pun, saya menerima permintaan daripada Datuk Chong (Sin Woon) agar pekebun-pekebun haram terbabit dibenarkan memasuki kawasan operasi untuk mendapatkan semula barangan milik mereka yang tertinggal di dalamnya.
“Kepada permintaan ini, saya telah meminta Datuk Chong mendapatkan sendiri kebenaran untuk pekebun terbabit berbuat demikian daripada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.
Kira-kira 15,000 pokok durian musang king yang ditanam di kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah sejak 3 Julai lalu.
Pada masa ini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah memulakan aktiviti menanam pokok hutan yang dianggarkan berjumlah 20,000 pokok bagi menggantikan durian musang king. – UTUSAN ONLINE