PETALING JAYA: Pelakon jelita, Rita Rudaini, mengundang rasa kurang senang warganet ekoran mengeluarkan pendapatnya mengenai warga emas tidak patut dipaksa untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
Menerusi perkongsian di entri Instastory, Rita mempersoalkan tujuan mereka yang membawa ibu bapa menerima vaksin jika tidak dapat melancong kerana keadaan yang sudah uzur.
“Yang nak vaksin, vaksinlah, tapi kenapa nak ada paksaan? Apa agenda? Paksa orang tua-tua vaksin, yang duduk atas kerusi roda pun di angkut untuk vaksin. Kenapa?
“Mereka dah tua, nak jalan pun tidak boleh, jadi nak vaksin untuk pergi mana? Paris? Milan? Daftar pula ibu bapa yang dah uzur dan tua untuk di vaksin sama. Otak mana? Nak cucuk, cucuklah. Tak perlu risikokan ibu bapa hangpa,” coretnya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata warganet tidak bersetuju dan berasa berang berkenaan pendapat yang dilontarkan pelakon tersebut.
“Kau tak nak cucuk bukan masalah kami. Jadi apa masalah kau kalau kami bawa ibu bapa pergi vaksin? Orang tua lebih jauh ada otak. Mereka lebih pilih untuk ikhtiar mencegah,” komen seorang pengguna Instagram.
“Ambil vaksin tujuan dia bukan nak pergi melancong. Nak pergi haji atau umrah pun syarat dia kena vaksin, tak baca ke fasal vaksin? Dah banyak orang berkongsi,” tambah seorang lagi individu.
“Kak, vaksin bukan untuk pergi Milan dan France, tetapi untuk dapatkan kawalan imuniti kawanan. Lagi ramai vaksin, lagi besar kawanan tersebut. Penat lelah kami kerja, tapi rakyat tak nak ambil vaksin, penat kak penat!” bidas warganet menerusi komen.