KUALA LUMPUR: Penyanyi, Syafiq Farhain tidak menafikan karier penyanyi antara profesion paling terkesan di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Menurut Syafiq, penyanyi yang bergantung sepenuhnya pada bidang itu, kemungkinan berdepan kesukaran dalam mencari alternatif lain untuk mencari punca pendapatan baharu.
“Bila jadi macam ini saya rasa agak terbebanlah, mereka nak cari duit celah mana? Sebab nak buat persembahan pentas tak boleh.
“Alhamdulillah saya ini masih lagi bekerja sebagai petugas bomba dan dapatlah tampung. Tapi bukan bermakna tidak terjejas dan tiada beban untuk tanggungan lain seperti bayar rumah, hutang-hutang dan lain-lain lagi, ada juga,” ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Biarpun terhimpit dengan keadaan ekonomi, Syafiq percaya ada jalan penyelesaian lain yang dapat membuka lembaran baharu.
“Saya tengok ramai kenalan rakan artis mencuba peluang baharu dengan berniaga. Jadi ada juga hikmah yang baik dalam membantu keadaan kita sekarang,” katanya.