KUALA LUMPUR: Usahawan sensasi, Datuk Seri Vida tidak memperlekeh atau menidakkan gerakan bendera putih sebaliknya sekadar menitipkan pesanan untuk mereka yang sering memberikan alasan untuk mula berniaga.
Jelas beliau atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan tanpa menggunakan alasan modal sebagai penghalang dan banyak peluang boleh diraih jika rajin berusaha.
“Kalau ada yang mengata atau mencemuh saya kerana kenyataan itu, lebih baik pergi cuci hati. Bukan saya memperlekeh mana-mana pihak cuma saya memang jenis yang cakap berterus-terang sahaja.
“Saya bercakap dari perspektif seorang peniaga. Sekarang ini, kalau nak berniaga jangan bagi alasan itu ini. Usaha itu penting. Berniaga depan rumah pun boleh. Cari jalan untuk memulakan sesuatu.
“Bukan saya menentang kempen bendera putih, tetapi sekali dua mungkin orang tolong. Kalau dah masuk kali keempat atau kelima, macam tidak ada usaha. Janganlah berfikiran negatif sangat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Usahawan yang juga seorang penyanyi ini berdepan cemuhan masyarakat yang menganggap dia memperlekeh mereka yang meminta bantuan dan menyifatkan kenyataannya itu sebagai tidak cerdik.
Dalam perkongsian di Instagramnya, Vida yang sedang berhenti di tepi jalan untuk membeli makanan memuji usaha dan kerajinan seorang pemuda yang tetap mencari rezeki walau dihimpit dengan kesukaran.
Beliau juga enggan mengambil pusing komen-komen negatif yang mengatakan dia hanya pandai bercakap dan tidak turun padang untuk membantu mereka yang terjejas teruk dek pandemik ini.
“Saya pun ada menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas tetapi takkan semua nak muat naik dan canangkan. Malah, ada sahaja rumah yang mengibarkan bendera putih saya bantu sedikit sebanyak.
“Tapi ada juga yang malu nak kibar bendera putih. Takut jiran mengata dan ada juga yang tak mahu kibar sebab anak-anak malu. Jadi saya wakilkan kakitangan untuk hulurkan bantuan,” katanya. – UTUSAN