PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan beliau antara nama yang terlibat dalam kenyataan semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau tidak pernah bersetuju untuk melanggar arahan Majlis Tertinggi (MT) yang membuat keputusan menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Eh saya pun ahli Parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MT parti semalam?
“Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluarkan entah pihak mana ini?
“Saya yang tanda tangan watikah pencalonan bagi setiap ahli parlimen BN yang ada hari ini. Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang ahli Parlimen BN. Sila beri senarai nama,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Beliau merujuk satu kenyataan berhubung sokongan semua ahli Parlimen BN sepakat untuk kekal menyokong Kerajaan PN yang mentadbir negara ketika ini.
Dalam kenyataan itu menyebut, pendirian itu berdasarkan keputusan mesyuarat MT UMNO malam tadi, yang mana ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya dan jika berlaku sebarang pengundian dalam sesi Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos ini.
Menurut kenyataan itu, apa yang menjadi keutamaan ahli-ahli Parlimen pada waktu ini adalah usaha memastikan agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat direalisasikan dengan keyakinan bahawa rakyat akan kembali menjalani kehidupan normal seperti sebelum Pandemik Covid-19.
“Dalam keadaan negara sedang berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi, kelangsungan hidup rakyat jauh lebih penting daripada percaturan parti-parti politik.
“Sehubungan dengan itu, ahli-ahli Parlimen menyokong Muhyiddin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat, ” katanya.
Awal pagi ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan daripada Kerajaan PN.
Susulan itu, beliau mendesak Muhyiddin berundur daripada jawatan Perdana Menteri secara terhormat setelah kepemimpinan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu gagal menguruskan negara yang dilanda pandemik Covid-19 serta menjaga kebajikan rakyat. – UTUSAN ONLINE