ALOR GAJAH: Seorang pekerja kilang maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi, masing-masing terlibat dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Bukit Balai di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam, mangsa, Zahari Ismail, 44, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Hafiz Mohd. Hishamuddin, 22, patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku selepas kedua-dua mangsa yang dalam perjalanan dari arah Gangsa ke Durian Tunggal cuba memotong sebuah kereta jenis Kia Cerato di hadapan mereka.
“Ketika memotong, motosikal jenis Kawasaki dan Yamaha ditunggangi mereka bagaimanapun telah merempuh sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, Zahari yang merupakan seorang pekerja kilang maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Hafiz mengalami patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Arshad, kedua-dua pemandu kereta bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, siasatan pegawai penyiasat di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian penunggang motosikal yang memotong secara berbahaya di lorong garisan berkembar.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala penunggang yang terselamat itu dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.