PUTRAJAYA: Menjelang tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, cuma Negeri Sembilan dan Sarawak yang secara rasmi melarang ibadah korban bagi dilaksanakan.
Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), negeri lain dan tiga Wilayah Persekutuan membenarkan ibadah penyembelihan tersebut dengan protokol ketat.
Lokasi aktiviti itu pula perlu dapat keizinan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), jabatan agama Islam negeri, pejabat agama Islam daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menerusi hantaran infografik yang disediakan oleh Jakim dalam akaun sosial rasmi agensi itu, Melaka, Johor dan Wilayah Persekutuan melarang penyembelihan di masjid atau surau.
Dari segi bilangan haiwan, Pulau Pinang paling banyak iaitu 10 ekor lembu atau kerbau atau unta dan 20 ekor kambing di masjid manakala lima ekor lembu dan 10 ekor kambing di surau.
Malah, tiada had sekiranya di rumah sembelihan, ladang atau kandang, sama seperti Kedah namun negeri itu mengehadkan lima ekor jika di masjid, surau atau kawasan lapang.
Selangor pula lima ekor lembu di rumah sembelih tetapi jika di ladang atau kandang ialah lima ekor lembu dan 10 ekor kambing serta tiga ekor lembu dan 10 ekor kambing kalau di masjid.
Perak menetapkan sembelihan pada hari raya pertama untuk sesi 1 ialah empat ekor lembu dan enam ekor kambing dan sesi 2 pula lima ekor lembu dan lapan ekor kambing.
Sementara tiga hari tasyrik yang berikutnya, negeri berkenaan menetapkan masing-masing sebanyak lima ekor lembu dan lapan ekor kambing dibenarkan disembelih pada sesi 1 dan 2.
Di Pahang pula 10 ekor sehari iaitu masing-masing lima ekor pada waktu pagi dan petang, manakala Melaka dan Sabah membolehkan lima ekor lembu dan 10 ekor kambing setiap hari.
Bagaimanapun, Perlis, Terengganu dan Wilayah Persekutuan membenarkan lima ekor sehari namun Kelantan pula dua ekor dalam satu masa dengan had juga masih lima ekor satu hari.
Hanya Johor setakat ini menurut Jakim, yang belum lagi menyatakan bilangan maksimum bagi penyembelihan ternakan, selain tidak memaklumkan had jumlah petugas ibadah korban.
Sehingga kini, Selangor membenarkan paling ramai petugas iaitu 30 orang sekiranya dibuat di kandang atau ladang dan 20 orang jika dilaksanakan aktiviti tersebut di pekarangan masjid.
Ini disusuli Pulau Pinang dan Melaka yang masing-masing membolehkan sehingga 25 orang petugas dalam satu masa, manakala Perak dan Sabah pula tidak melebihi 20 orang petugas.
Perlis, Kedah dan Wilayah Persekutuan menetapkan maksimum 12 orang petugas, namun Terengganu dan Pahang pula tidak boleh lebih daripada 10 orang petugas.
Dari segi agihan daging korban, Wilayah Persekutuan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka menetapkan ia perlu diserahkan terus di rumah penerima yang disenaraikan penganjur.
Pahang juga membolehkan agihan ke rumah selain melalui kaedah pandu lalu manakala Selangor boleh hantar ke rumah di samping diambil di masjid mengikut masa ditetapkan.
Sementara Perak dan Perlis akan mengagihkan berdasarkan waktu ditentukan kemudian, namun Kelantan, Terengganu dan Johor diagihkan kepada peserta terus di lokasi sembelihan.
Ini merupakan tahun kedua aktiviti korban sempena Hari Raya Aidiladha dilaksanakan dalam prosedur operasi standard yang ketat dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.