Sebuah karangan peribadi buat mengenang jasa para pemuzik
SAYA masih ingat kali pertama kenal lapangan muzik independen. Saya masih bersekolah dan muzik yang saya kenal ialah muzik yang keluar di radio serta koleksi cakera padat bapa dan sepupu.
Namun ia berubah apabila ada yang memberitahu, saudara jauh yang yang tinggal di Kuala Lumpur ada kugiran sendiri. Ia mengujakan kerana saya tak pernah tahu Malaysia ini banyak kugiran, kecuali kugiran kecil kampung yang bermain di kenduri kahwin.
Maka saya berkenalan dengan Roti, kugiran Amran Kamaruddin yang saya tak pernah tahu kewujudannya sebelum itu. Amran tunjukkan kepada saya CD demo dan saya tanya, di radio mana nak dengar lagu mereka. Katanya, X-Fresh FM.
X-Fresh FM yang bertukar nama kepada XFM selepas itu menjadi peneman setia saya waktu buat kerja sekolah pada waktu malam sehingga 2010 dan saya bersumpah, sekali pun saya tak pernah dengar lagu Roti di situ.
Namun, XFM memperkenalkan saya kepada Hujan, Meet Uncle Hussein, Grey Sky Morning, Bittersweet dan kugiran kesayangan saya sepanjang hayat, Komplot. Saya mula meneroka lapangan muzik independen dari jauh, tanpa pernah hadir ke mana-mana gig.
Selepas tamat SPM saya dah jarang dengar radio sehinggalah XFM ditutup. Tiada masalah kerana saya ada internet untuk meneroka lebih dalam. Saya mula kenal The Rhaman, Romancesa, Dazmelon, Lab The Rat dan banyak lagi. Perkenalan saya dengan Twitter pula buat saya mula dengar Sekumpulan Orang Gila dan Pitahati.
Banyak lagi kugiran kalau nak disebut. Malah, sebelum kenal XFM pun saya pernah dengar lagu independen seperti Penipu oleh Piring Hitam, 150 Juta oleh Fynn Jamal dan Cela oleh Boneca. Cuma ketika itu saya belum tahu wujudnya lapangan muzik independen.
Kemudian, saya juga masih ingat ketika hit rock bottom bak kata orang putih pada 2016 dan 2017. Tekanan pengajian terlalu berat sehingga mencetuskan pelbagai krisis dalam diri. Dan entah mengapa, waktu itu juga banyak kugiran kegemaran saya mengeluarkan ‘lagu-lagu insaf’.
Bunkface dengan Kembalii; Bittersweet dengan Hilang dan Monoloque dengan Slagi Ada Waktu.Saya yang celaru arah waktu itu berjumpa ketenangan melalui lagu-lagu ini. Ada emosi yang dijentik dan ada ruang fikiran yang dibuka.
Ini kelakar sikit tapi ketika ada sahabat yang mengajak saya mendaki Gunung Datuk di Rembau, saya kurang yakin. Berat badan yang bertambah banyak dan stamina yang saya tahu sudah kering buat saya was-was. Akhirnya betul, saya tak mampu daki jauh.
Ketika itu rasa lemah menguasai diri. Motivasi meleset dan akhirnya, saya buat keputusan untuk susun senarai main di Spotify dengan tajuk Motivasi. Isinya didominasi lagu-lagu Hacktick! selain turut menampilkan Milo Dinosaur, Iqbal M. dan Mafidz.
Banyak senarai main yang saya susun di Spotify untuk didengar dalam keadaan emosi yang berbeza. Lagu-lagu bahasa Melayu Butterfingers memang saya akan buka ketika tertekan. Lagu-lagu post-rock tempatan dikumpul untuk didengar waktu fikiran sedang lapang dan mahu berfikir berat. Koleksi indie folk Indonesia untuk rasa nyaman dan lagu-lagu Laila’s Lounge, Seven Collar T-Shirt dan seangkatan dengannya untuk waktu sukar.
Karangan peribadi ini saya tulis hanya untuk sampaikan satu perkara: muzik punya impak besar dalam hidup saya. Ada orang jumpa makna dalam puisi, sukan atau filem; tetapi saya muzik. Dan saya percaya, ramai lagi orang yang sama macam saya.
Di kala pandemik ini, kehidupan pemuzik ramai yang susah. Sumber pendapatan mereka baik dalam bidang muzik atau tidak terputus.
Saya cuma mampu berdoa supaya urusan mereka dipermudahkan. Jasa pemuzik tempatan sangat besar kepada saya dan jasa itu tidak dapat dinilai. Anda tidak akan pernah tahu bagaimana dengan lagu Jangan Risau oleh Hacktick! berjaya tenangkan berapa banyak jiwa. Begitu juga Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang oleh Iqbal M. dan dalam kes saya, Hilang oleh Bittersweet.
Muzik bagi saya bukan sekadar hiburan. Muzik ada jiwa yang membahagi makna kepada hidup manusia. Muzik juga mesin masa yang membantu kita mengenang masa silam.
Maka, untuk para pemuzik yang sedang berperang dengan pandemik, kuatkanlah hati untuk terus berkarya kerana anda sedang menyumbang sesuatu kepada dunia. Percayalah.