KUANTAN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua barisan Kabinet digesa mengemukakan permohonan maaf secara terbuka terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seterusnya ahli-ahli Dewan Rakyat dan seluruh rakyat.
Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Pahang, Asaari@Kamaluddin Yatim berkata, susulan itu, mereka semua juga harus meletak jawatan dengan segera.
Menurutnya, kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong agar cadangan pembatalan Ordinan Darurat dibentangkan dan dibahaskan pada sidang Parlimen adalah penderhakaan yang melanggar prinsip Rukun Negara.
“Sepatutnya kerajaan PN melaksanakan seperti dititahkan Al-Sultan Abdullah dengan membentangkan cadangan memansuhkan ordinan itu dan kemudiannya dibahaskan sebelum diperkenan baginda.
“Sudahlah mereka gagal mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong, tambah mengecewakan lagi apabila mereka memberikan kenyataan tidak tepat dan mengelirukan ahli Dewan Rakyat.
“Tindakan ini membawa kesan besar terhadap Perlembagaan Persekutuan dan akhirnya memberikan impak negatif terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tindakan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin lalu, tanpa memperoleh perkenan Al-Sultan Abdullah adalah sangat mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku di sebuah negara yang mengamalkan konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan.
Sementara itu, Asaari berkata, tindak-tanduk dan perbuatan Muhyiddin serta ahli Kabinet juga secara tidak langsung mencerminkan kecacatan dan kelemahan tampuk pemerintahan negara.
“Kami berharap semua pihak dapat menghormati mandat rakyat, sebagai mana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dan hak rakyat perlu dikembalikan sebagai mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan negara Malaysia.
“Malaysia memerlukan sebuah kerajaan diterajui kepimpinan yang lebih terarah dan berwawasan, demi membawa negara ini keluar daripada belenggu pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang masih membelenggu seluruh rakyat ketika ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE