GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang menasihatkan sesiapa sahaja yang terlibat di dalam aktiviti dakwah serta kebajikan supaya sentiasa bermuhasabah dan berusaha memperbaiki diri supaya usaha-usaha tersebut diterima di sisi Allah SWT.
Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, masalah umat Islam termasuk para pendakwah dan para aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam adalah suka menghabiskan masa dan tenaga dengan bertengkar dan berbalah tentang metodologi.
Selain itu ,katanya, turut menjadi perbalahan ialah membabitkan soal kaedah dalam segala urusan yang dilakukan sedangkan kesemuanya bekerja ke arah matlamat yang sama.
”Saya tidak suka menyentuh mana-mana individu tertentu.
“Saya hanya ingin menasihatkan sesiapa sahaja yang membabitkan diri dalam program dan aktiviti dakwah serta kebajikan supaya sentiasa bermuhasabah, ingatlah segala amalan dan usaha kebajikan yang tidak disertai niat yang ikhlas tiada nilainya di sisi Tuhan dan tidak akan diterima oleh-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, tular isu membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew membabitkan misi kemanusiaan pasukannya membantu rakyat Palestin di Gaza, baru-baru ini.
Menurut Wan Salim, sebagai manusia biasa tiada yang sempurna dan setiap orang ada kelemahan serta kelebihan masing-masing.
Apa yang menjadi masalah jelasnya, apabila ramai dalam kalangan umat Islam suka memberi tumpuan kepada aspek kelemahan dan kekurangan yang ada pada umat Islam lain dan mengabaikan aspek kelebihan serta kebaikannya.
Tambahnya, beliau amat berharap semua mereka yang melibatkan diri dalam aktiviti dakwah dan kebajikan termasuk wakil NGO tertentu yang berusaha menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin dapat bekerjasama mencari jalan supaya bantuan tersebut sampai kepada sasaran.
“Berusahalah mendapat maklumat daripada pertubuhan-pertubuhan tertentu di Mesir, Jordan atau Syria, semoga ada saluran atau cara untuk menjamin bantuan itu sampai kepada rakyat Palestin.
“Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan baik yang diusahakan demi membantu dan membela golongan yang dianiaya oleh penjajah Israel,” katanya. – UTUSAN ONLINE